Friday 11 January 2013

Guru Abad Ke-21


Kerjaya guru adalah amat memerlukan komitmen dan kesungguhan daripada penjawatnya. Oleh yang demikian, perguruan dianggap satu profesion. Hasil komitmen yang penuh dan kesungguhan yang kuat maka terhasillah anak didik yang berjaya dalam kehidupan.  Seseorang guru adalah lahir daripada pengalaman, kematangan dan sedikit daripada sifat semulajadi atau genetik.
Profesionalisme seseorang guru berkait rapat dengan mutu pendidikan di beberapa segi, seperti sikap dan nilai guru dalam pengajaran umpamanya, akan mempengaruhi minat, sikap dan nilai pelajar. Begitu juga dengan pendekatan yang digunakan turut memberi pengaruh terhadap tingkah laku, tahap penerimaan dan kefahaman pelajar dengan pembelajaran. Mutu pendidikan juga berkait rapat dengan keberkesanan dalam menggunakan sumber pengajaran secukupnya yang turut mempengaruhi minat, kefahaman, penyertaan dan pencapaian pelajar dalam pembelajaran. Mutu pendidikan berhubung dengan personaliti guru yang akan menentukan iklim pembelajaran pelajar.
Dengan demikian, seseorang guru perlu sentiasa bersiap sedia dengan segala perubahan dalam sistem pendidikan sebagai pelaksana dalam memajukan pendidikan dan pelajarnya secara khasnya. Seseorang guru itu perlu sentiasa menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan baru selari dengan perkembangan teknologi yang semakin berkembang pesat penggunaannya dalam pendidikan di negara kita. Sebagai golongan orang-orang yang berilmu pengetahuan dan terlatih guru-guru bukan sahaja perlu mahir dalam bidang masing-masing tetapi juga mestilah berkebolehan menggunakan teknologi komputer secara kreatif dan inovatif. Mereka hendaklah melihat revolusi sistem pendidikan ini sebagai satu peluang untuk meningkatkan kualtiti dan produktiviti pendidikan bukannya sebagai ancaman kepada masa depan karier mereka (Wan Liz Ozman, 2000).
Oleh yang demikian, menyediakan diri menjadi guru yang perkasa perlukan latihan dan latihan-latihan semula secara berterusan atau bila-bila sahaja jika ada peluang dan kesempatan. Hanya dengan sikap proaktif, semangat dan keinginan yang tinggi bagi memperlengkapkan diri sahajalah seseorang itu guru itu mampu menyesuaikan dirinya dengan pelbagai cabaran, tuntutan dan tekanan tugas dan kerja yang sering berubah dalam proses peningkatan dan pembaharuan seperti tersirat di dalam Standard Tinggi Kualiti Pendidikan hari ini.
Guru abad ke21 yang dihasratkan oleh sistem pendidikan malaysia ialah seorang guru yang memiliki sifat dan ciri-ciri unggul sebagai penyampai ilmu (yang benar), sebagai penyemai nilai luhur, pembimbing, penunjuk ajar dan pemberi pedoman hidup serta yang paling penting dan berkesan sebagai contoh dan teladan kepada setiap anak didiknya. Guru ynag perkasa bukan sahaja sihat tubuh badan dan sihat pula mental dan pemikirannya tetapi seorang yang penuh dengan sifat-sifat iltizam, dedikasi, bertanggungjawab, komited, tekun, sabar, bertimbang rasa, rajin, ceria, amanah, berpegang kepada janji; tetap tidak akan mengkhianati tugasnya atau murid-muridnya. 

0 comments:

Post a Comment