Friday 11 January 2013

Pendidikan Abad ke-21



"Malaysia mempunyai salah satu sistem pendidikan yang terbaik di Dunia
Ketiga. Namun sebagai bekal kita harungi perjalanan pada generasi yang
kedua ini, piawaian yang baru hendaklah ditetapkan dan matlamat baru
hendaklah dicapai. (YAB Perdana Menteri, 1991)
                                                                                                
Sistem pendidikan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. Justeru itu, pendidikan yang berkualiti dan cemerlang merupakan wahana usaha membangunkan generasi alaf baru. Dalam usaha membangunkan insan ini, sistem pendidikan negara memerlukan usaha-usaha yang strategik yang boleh meningkatkan keupayaan dan kemampuan amalannya terhadap kualiti yang tinggi dan cemerlang agar dapat menangani cabaran-cabaran abad ke-21. Dalam abad ke-21 ini sistem pendidikan berubah sejajar dengan perubahan aspek ekonomi, budaya dan politik. Intellectual Capital  akan menjadi asas kukuh daripada kekayaan yang berupa tanah, wang atau bahan mentah. Budaya korperat yang berasaskan pendemokrasian kuasa akan menggantikan amalan hiraki tradisional. Prinsip dan nilai sejagat akan menentukan kejayaan sesuatu institusi, organisasi ataupun negara. Oleh itu, sistem pendidikan dan persekolahan dalam menghadapi perubahan alaf baru perlu berfungsi pada landasannya untuk menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara.
Bekas Perdana Menteri kita, YAB Datuk Seri Dr. Mahathir bin Mohamad dalam ucapan menyambut perayaan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-40 suatu ketika dulu pernah meminta rakyat supaya mencari strategi dan pelan baru bagi menghadapi alaf mendatang ini. Rakyat perlu melengkapkan diri dari segala sudut, dari ilmu pengetahuan yang berasaskan teknologi tinggi, sehingga memupuk semangat kebangsaan yang unggul di dalam jiwa masing-masing. Jika rakyat tidak bersedia menghadapi perubahan dunia, negara pasti tidak akan mampu bersaing dengan negara-negara maju lain. Beliau mahukan pembangunan negara mestilah seiring dengan pembagunan rohaniah agar keseimbangan antaranya dapat memenuhi hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat madani. Perdana Menteri turut kerap dalam ucapannya memberi ingatan “kita mahu menjadi negara maju dalam acuan kita sendiri”
Dalam Persidangan Pendidikan Nasional ke-5, dalam tahun 1997 yang lalu, natijah persidangan menunjukkan dua cabaran besar alaf baru ialah ledakan ilmu yang berbentuk global dan masalah sosial yang perlu ditangani dan diatasi ke arah membentuk masyarakat madani. Justeru itu agenda penting untuk membangun rakyat. Malaysia melalui sistem pendidikan pertama ialah pembinaan budaya ilmu dan keduanya ialah pembudayaan masyarakat.

Pembinaan Budaya Ilmu
Ilmu merupakan faktor terpenting dalam menentukan kebahagian individu dan kejayaan serta kekuatan sesuatu bangsa dan negara. Ilmu membina kekuatan minda ke arah daya fikir tinggi (high order thinking) dan daya kreatif di kalangan individu dan bangsa. Semua agama dan sistem sosial manusia mahukan ahlinya menguasai ilmu pengetahuan sama ada untuk kebahagiaan duniawi dan ukhrawi. Dr. Wan Mohd. Nor Wan Daud, menjelaskan "Budaya Ilmu bermaksud kewujudan satu keadaan di mana setiap lapisan masyarakat melibatkan diri baik secara langsung mahupun tidak langsung dengan kegiatan-kegiatan keilmuan di setiap kesempatan; dan keadaan di mana segala tindakan manusia baik di tahap individu, apatah lagi di peringkat masyarakat, diputus dan dilaksanakan berdasarkan  ilmu pengetahuan." Mengikut beliau lagi, budaya ilmu ialah satu budaya yang meletakkan nilai tertinggi dan asas kepada ilmu pengetahuan sebagai kunci segala kebaikan dalam kehidupan individu, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara. Para pendidik perlu sedar bahawa dalam usaha negara menghadapi masa depan yang penuh saingan, pendidikan adalah bersifat futuristik, maka kita hendaklah mampu menyediakan generasi muda kita untuk menghadapi kemungkinan-kemungkinan berupa masyarakat industri, ekonomi yang global, kebanjiran teknologi tinggi dan sentiasa bertambah canggih, penggunaan komputer sebagai keperluan urusan harian dan limpahan maklumat sejagat. Kita perlu lahirkan generasi berilmu untuk berfikir, bertindak dan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat berlandaskan skop yang global dan teknologi yang terkini, serta berupaya menangani gelombang perkembangan dan perubahan masa kini.

Pembudayaan Masyarakat Malaysia
Perkembangan ekonomi dan industri yang berlaku dengan pesatnya tidak bermakna jika tidak diseimbangan dengan kesejahteraan sosial, ketinggian rohani, kekuatan jiwa dan kebudayaan yang terpelihara. Mengikut takrif masyarakat madani ialah: “suatu sistem sosial yang subur yang diasaskan kepada prinsip moral yang menjamin keseimbangan antara kebebasan perseorangan dengan kestabilan masyarakat.” Masyarakat yang mendorong daya usaha serta inisiatif individu baik dari segi pemikiran, seni, ekonomi dan teknologi. Sistem sosial yang cekap dan saksama serta perlaksanaan pemerintahan mengikut undang-undang dan bukan nafsu atau keinginan individu menjadikan keterdugaan (predictability) serta ketelusan (transprency) sistem. Cabaran yang sedia wujud seperti masalah remaja, dadah, seks bebas, samseng sekolah, ponteng, dan berbagai kes salah laku perlu ditangani dengan bijaksana. Para pendidik seharusnya menghadapi cabaran ini sebagai satu peluang (opptunity) secara komited menggunakan wadah pendekatan nilai merentasi kurikulum persekolahan untuk membentuk masyarakat madani di kalangan pelajar dan masyarakat.
Perkembangan dunia aspek ekonomi, sosial, politik dan teknologi seharusnya menjadi indikator asas kepada sistem pendidikan dan persekolahan untuk memenuhi keperluan tenaga manusia yang berteraskan keilmuan yang berkualiti, asas nilai dan moral yang berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan, semangat patiotis dan memelihara perpaduan rakyat sebagai bangsa Malaysia, dan manusia yang bertaraf dunia. Para pendidik adalah wahana yang boleh menentukan corak manusia yang mampu menghadapi abad ke-21.

0 comments:

Post a Comment