Teori berasal dari perkataan Yunani
iaitu “therio” yang membawa maksud pandangan. Teori merupakan antara perkara
asas kepada sesuatu bidang ilmu, termasuklah bidang psikologi pendidikan.
Teori-teori pembelajaran dalam psikologi pendidikan memberi fokus kepada aspek
pembelajaran dan daripadanya datang idea-idea dan prinsip-prinsip tertentu. Perkataan
teori ini sebenarnya tidak asing bagi kita, malah sering kita digunakan secara
tidak langsung dalam percakapan atau perbualan dan tingkah laku seharian.
Walau bagaimanapun, penggunaan perkataan
teori dalam perbualan seharian ini mungkin tidak menepati maksud teori yang sebenar. Pendekatan
penggunaan teori pengajaran dan pembelajaran memainkan peranan penting dalam
menentukan keberkesanan sesuatu pengajaran dan pembelajaran dalam bidang
pendidikan. Teori
pembelajaran memainkan peranan yang penting kepada guru kerana menerusi
teori-teori ini guru akan memahami proses pembelajaran yang berlaku di dalam
diri pelajar, memahami faktor yang mempengaruhi dan mempercepatkan proses
pembelajaran para pelajar. Selain itu, guru akan dapat membuat ramalan yang
tepat tentang hasil yang diharapkan dari proses pengajaran dan pembelajaran.
Antara teori-teori pembelajaran yang sering digunakan oleh guru dalam proses
pengajaran dan pembelajaran seperti Teori Behaviorisme, Teori Fungsionalisme
dan Teori Konstruktivisme.
Teori Behaviolisme
Teori Behaviorisme adalah teori belajar yang lebih menekankan
pada tingkah laku manusia. Memandang individu sebagai makhluk reaktif yang
memberi respon terhadap lingkungan. Pengalaman dan pemeliharaan akan membentuk
perilaku mereka. Tokoh-tokoh behaviorisme seperti Pavlov, Thorndike dan Skinner
berpendapat bahawa pembelajaran
merupakan suatu tingkah laku yang nampak, dapat diukur, dan diramal hasil
interaksi antara stimulus dan respon. Pembelajaran
sebagai perubahan tingkah laku kekal yang dihasilkan daripada pengalaman atau
latihan. Pengalaman dan pemeliharaan akan membentuk perilaku mereka. Behaviorisme
merupakan satu pendekatan pemikiran yang menekankan peranan pengalaman dalam
mengawal tingkahlaku. Dari perspektif behaviorisme, pembelajaran hanya bermula
apabila wujudnya tindak balas terhadap suatu rangsangan yang diberi. Proses
pembelajaran akan diteruskan jika terdapat motivasi ekstrinsik yang sesuai
(sama ada peneguhan positif atau
negatif) sementara pembelajaran dikatakan berakhir apabila perubahan tingkah
laku dapat dibentuk dan dikekalkan.
Teori fungsionalisme ini
diperkenalkan oleh Auguste Comte, Herbert Spencer dan Emile Durkheim. Mengikut
teori ini masyarakat berkembang dan stabil berdasarkan peraturan sosial dan
perubahan semasa. Masyarakat diibaratkan sebagai satu organisma dan setiap
organ mempunyai peranan yang tersendiri. Teori ini mengkaji fungsi perlakuan
sosial atau institusi dalam kegiatan atau aktiviti yang menyumbang kepada
penerusan masyarakat. Teori fungsionalisme ini juga lebih menekankan
kepentingan persefahaman dan kestabilan masyarakat. Mengikut pemikiran ahli fungsionalisme,
kita harus memerhati terlebih dahulu fenomena sosial iaitu mengenalpasti
struktur sosial. Brinkerhoff & White (1989: dalam Amir Hasan Dawi, 2009),
telah merumuskan terdapat tiga andaian utama ahli-ahli fungsionalisme iaitu
stabiliti, harmoni dan evolusi. Stabiliti adalah kriteria untuk menilai tahap
kefungsian sesebuah masyarakat. Harmoni pula merujuk kepada cara semua bahagian
dan struktur dalam masyarakat bekerjasama untuk mencapai matlamat. Evolusi
menggambarkan perubahan-perubahan yang berlaku dalam masyarakat. Teori ini
mementingkan persefahaman anggota masyarakarnya atau konsesus untuk mencapai
keharmonian dan kestabilan.
Semasa proses pengajaran dan
pembelajaran, pendidik atau guru boleh mengaplikasikan teori fungsionalisme ini
terutamanya dalam subjek bahasa. Menurut teori fungsional, pengajaran dan
pembelajaran bahasa lebih mementingkan fungsi sosial. Fungsi sesuatu bahasa
boleh diajar berdasarkan situasi. Pelajar dikehendaki menulis ayat berdasarkan
situasi. Contohnya, situasi bagi perkataan ‘beratur’. Kemudian pelajar akan
membuat ayat tunggal bagi menerangkan situasi perkataan ‘beratur’. Dengan cara
pengajaran dan pembelajaran ini akan membuatkan pelajar lebih mahir untuk
menggunakan atau bertutur dengan perkataan yang diberikan dengan baik mengikut
fungsi sosial bahasa tersebut.
Teori
Konstruktivisme
Teori konstruktivisme dipelopori oleh
tokoh-tokoh seperti Piaget (1970), Brunner dan Brand (1966), Dewey (1938), dan
Ausubel (1963). Teori konstruktivisme ini adalah satu pandangan baru tentang
pengetahuan dan bagaimana manusia memperoleh ilmu. Pembelajaran berasaskan
teori konstruktivisme bukan satu konsep yang baru tetapi telah digunakan secara
meluas dalam proses pengajaran dan pembelajaran terutamanya dalam mata
pelajaran sains dan matematik sejak tahun 1980-an lagi. Penggunaan teori
konstruktivisme dalam pendidikan merupakan satu perubahan paradigma daripada pendekatan
behaviourisme kepada pendekatan yang berasaskan kognitif.
Kajian yang dilakukan oleh Caprio
(1994), telah membuktikan pendekatan konstruktivisme dalam pengajaran dan
pembelajaran dapat membantu pelajar untuk mendapatkan pemahaman dan pencapaian
yang lebih tinggi dan signifikan. Proses penggunaan teori konstruktivisme dalam
proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah dapat dijelaskan
menggunakan Model Konstruktivisme Lima Fasa Needham seperti berikut:
- Orientasi (engage)
Fasa ini bertujuan untuk
menarik minat dan perhatian pelajar untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran
secara aktif dalam bilik darjah. Guru perlu menyediakan suasana yang dapat
menarik meminat pelajar terhadap pelajaran. Misalnya menggunakan cara tayangan
video, keratan akhbar, tayangan filem, soal jawab dan sebagainya. Aktiviti ini
mampu merangsang perasaan ingin tahu pelajar terhadap pelajaran yang hendak
disampaikan oleh guru.
- Pencetusan idea (explore)
Dalam fasa ini, guru
mengenalpasti kerangka alternatif pelajar. Idea-idea pelajar yang terdahulu
akan dikenalpasti melalui soalan-soalan yang diajukan untuk mendorong mereka
berfikir mengapa idea mereka tidak selari dengan idea saintifik. Guru boleh
mengadakan aktiviti seperti perbincangan dalam kumpulan kecil, menggunakan
kaedah peta konsep serta membuat laporan dengan menghubungkaitkan pengetahuan
sedia ada dengan pengetahuan yang baru dipelajari. Pelajar berbincang dalam
kumpulan dan berkongsi pengalaman yang sama serta interaksi yang rapat antara
satu sama lain. Guru hanya berperanan sebagai fasilitator dan pembimbing kepada
pelajar dengan membekalkan bahan dan membimbing pelajar untuk mencapai pembelajaran
inkuiri. Semasa
pelajaran ini pelajar akan
lebih seronok kerana mereka sendiri yang membina pengetahuan, konsep dan idea
secara aktif. Ini akan menjadikan mereka lebih faham, lebih yakin dan lebih
seronok untuk terus belajar sepanjang hayat walaupun menghadapi pelbagai
kemungkinan dan cabaran. Pelajar juga adalah lebih berkemahiran sosial kerana
boleh bekerjasama dengan orang lain dalam menghadapi sebarang cabaran dan
masalah. Kemahiran sosial ini diperoleh apabila pelajar berinteraksi dengan rakan-rakan
mereka dan guru dalam membina pengetahuan.
- Penstrukturan semula idea
(explain)
Dalam fasa ini, pelajar
berpeluang untuk mengubahsuai kerangka alternatif kepada idea saintifik.
Idea-idea baru akan dipersembahkan dalam pelbagai bentuk yang sesuai dengan
kecerdasan pelajar. Penerangan berserta dengan aktiviti yang sesuai dengan
kecerdasan masing-masing akan digunakan untuk membantu membentuk konsep baru
ini. Pelajar akan dapat membuat definisi, menerangkan konsep, menyoal tentang
penerangan lanjutan dan meminta justifikasi serta penjelasan. Guru perlu
menyediakan aktiviti atau memberi tugasan berstruktur untuk membolehkan pelajar
mencabar idea asal mereka atau idea daripada rakan, dan membina struktur
pengetahuan sendiri yang lebih bermakna dan berkesan. Kemahiran bahasa akan
membantu pelajar membuat pengubahsuaian atau penyusunan semula idea secara berurutan. Peranan guru pada fasa ini
adalah mengukuhkan konsep atau idea yang tepat.
- Aplikasi Idea (evaluate)
Fasa ini bertujuan untuk
mengenalpasti idea yang baru diubahsuai atau dibina dalam fasa penstrukturan
semula idea dapat diaplikasi dalam situasi yang baru. Konsep yang telah dibina
di kaitkan dan dikembangkan di dalam bidang yang lain atau di dalam dunia
sebenarnya. Pelajar akan mengaplikasikan pengetahuan baru dalam kehidupan dan untuk
menyelesaikan masalah dalam situasi baru. Hasil daripada fasa ini akan mewujudkan
pemahaman baru dan menggalakkan inkuiri di kalangan pelajar. Pelajar juga akan
lebih mengingati apa yang dipelajari disebabkan mereka terlibat secara aktif
semasa membina pengetahuan baru tersebut.
- Refleksi
Fasa ini bertujuan untuk
menilai kefahaman murid dan menilai sama ada idea terdahulu telah berubah atau
tidak. Dalam fasa ini guru boleh menggunakan cara bersoal jawab, penulisan
kendiri, dan catatan peribadi pelajar untuk menilai tahap pemahaman pelajarnya
dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan. Pelajar juga
boleh membandingkan pengetahuan sedia ada dengan pengetahuan baru serta
merenung kembali proses pembelajaran yang menyebabkan perubahan kepada idea
mereka.
0 comments:
Post a Comment